19 Jun 2015
Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali tidak serius untuk menyelesaikan masalah air yang membelenggu jutaan penduduk di Lembah Klang.
Ini selepas Azmin berada di Kelantan ketika Dewan Rakyat membahaskan isu air di Selangor pada petang Rabu.
Menurut Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar, Azmin gagal menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.
"Lebih malang (bagi Azmin) ialah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat menghadirkan diri di dewan dan juga mengambil bahagian dalam perbahasan, kata Noh dalam satu sidang media selepas perbahasan tersebut.
Azmin didakwa gagal hadir di Dewan Rakyat Rabu kerana terlibat dengan program bersama kerajaan negeri Kelantan.
"Bagaimana Azmin lebih mementingkan rakyat Kelantan? Ahli Parlimen Kuala Krai pun tidak berada di Kuala Krai, berada di Dewan Rakyat untuk mendengar masalah air. Jelas menunjukkan MB Selangor lebih mementingkan rakyat negeri lain dari rakyat negeri sendiri .
"Kita nak memastikan kedudukan dan status bekalan air Selangor. berdasarkan jawapan Menteri KeTTHa, tanggungjawab kerajaan pusat untuk membantu menyelesaikan krisis air di Selangor telah dilaksanakan. Dari penerangannya juga kerajaan pusat sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan.
"Namun malangnya, hari ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga hadir dan mengambil bahagian dan memberikan pandangan. (Berkata), apabila Selangor bertukar MB kepada Azmin telah menimbulkan masalah air untuk menyelesaikan masalah air, malah Sultan Selangor juga meminta kerajaan negeri menyelesaikan masalah air dengan segera," katanya lagi.
Noh berkata, masalah bekalan air ini perlu diselesaikan lebih awal memandangkan umat Islam esok akan memulakan ibadah puasa.
Penstrukturan semula air di Selangor masih belum dapat dimuktamadkan setelah kerajaan negeri dan kerajaan pusat saling menuding jari kononnya gagal mematuhi terma dan syarat yang dipersetujui di dalam Perjanjian Utama.
Usul yang dibawa oleh Noh adalah untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang berhubung isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor dan projek loji rawatan air Langat 2.
Usul tersebut diluluskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang bersetuju usul itu memenuhi tiga kriteria utama iaitu merupakan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.
Noh ketika mengemukakan usul itu antara lain berkata berdasarkan jawapan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada sesi pengulungan Rancangan Malaysia Kesebelas baru-baru ini, Selangor akan berdepan risiko pencatuan air yang kritikal pada bila-bila masa daripada sekarang.
Katanya kerajaan Persekutuan telah menawarkan perlanjutan tempoh namun kerajaan negeri Selangor belum dapat memenuhinya.
Beliau berkata projek loji rawatan air Langat 2 yang sepatutnya siap pada 2017 dijangka tidak dapat disiapkan mengikut jadual kerana tidak mendapat kerjasama dan menerima halangan tertentu daripada kerajaan negeri.
"Oleh itu, dewan ini hendaklah mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang supaya kedua-dua projek ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam memastikan rakyat tidak akan menghadapi masalah air yang kritikal pada masa akan datang," katanya.
11 Jun lalu media melaporkan Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) mungkin membatalkan perjanjian dengan entiti milik negeri Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, PNHB berkata, ia berharap tidak akan ada lagi lanjutan bagi Air Selangor untuk memenuhi syarat-syarat dalam perjanjian jual beli (SPA).
Tarikh tamat terkini menjadi Lanjutan Masa Kelima SPA ialah pada hari ini.
“PNHB tiada pilihan selain menggunakan hak-hak undang-undang untuk membatalkan SPA dengan Air Selangor,” kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan PNHB, Tan Sri Rozali Ismail.
Beliau berkata, Puncak Niaga Sdn. Bhd. dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. akan memulakan semula tindakan undang-undang mereka yang telah tertangguh sementara menunggu penyelesaian penstrukturan semula industri air Selangor.
Langkah itu bertujuan untuk mendapatkan balik hutang tertunggak oleh Kerajaan Negeri Selangor yang mencecah RM4.97 bilion pada 31 Mac 2015.
Ketidakpastian yang berpanjangan dalam penyusunan industri air Selangor telah menjejaskan tahap perkhidmatan yang pengguna berhak, katanya.
“Kami amat berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan apa-apa isu yang akan berlaku dengan segera demi kepentingan pengguna,” kata Rozali.
Air Selangor ditubuhkan untuk mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air dan perkhidmatan bekalan air yang sebelum ini diuruskan oleh empat syarikat.
Pada 11 November 2014, Air Selangor telah menandatangani perjanjian untuk membeli anak syarikat milik penuh PNHB, Puncak Niaga Sdn. Bhd. dan 70 peratus pegangan ekuitinya dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), bernilai RM1.55 bilion
Related Posts
- Blogger Comments
- Facebook Comments
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 komen:
Catat Ulasan