SHAH ALAM – Wacana Sinar ke-15 esok akan membawa kelainan kerana julung kali membincangkan topik yang agak berbeza iaitu berkenaan dengan peranan golongan ulama dalam menasihat pemimpin.
Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali berkata, pihaknya memilih topik "Peranan Ulama Menasihati Pemimpin" supaya ia memperlihatkan kelainan dan sesuai dengan perkembangan semasa.
"Ya, topik ini lain sedikit berbanding isu-isu sebelum ini. Selain itu, ia juga membawa panelis yang berbeza, yang akan membincangkan macam mana golongan ulama boleh menasihati pemimpin-pemimpin... tajuk ini akan mencabar sedikit," kata beliau.
“Pada pandangan kami topik ini juga sesuai khususnya kita sudah berada dalam musim pilihan raya,” tambah beliau.
Untuk mengulas isu ini dengan lebih terperinci, Sinar Harian menampilkan tokoh yang berpengalaman iaitu bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga Presiden Wardah, Datuk Dr Siddiq Fadzil; bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin, yang juga Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Malaysia.
Wacana kali ini menampilkan moderator yang tidak asing, Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Seperti lazimnya, wacana ini akan berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 di sini mulai jam 3 petang.
"Kami menggalakkan kehadiran orang ramai dan berharap hadirin akan datang awal kerana wacana akan bermula tepat jam 3 petang," kata Abdul Jalil lagi.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Laila menerusi 019-3310211, Fazli (019-2808492) atau Rini (019-3371066).
0 komen:
Catat Ulasan